Khamis, Mei 24

PUTARAN WAKTU




Semalam adalah kenangan
Hari ini merupakan kenyataan
Manakala esok adalah penantian
Maka......
Simpanlah kenangan semalam
   buat pedoman di hari kemudian
Dan kenyataan hari ini
Tempuhlah dengan tabah......

   

TAHNIAH PUAN.....

      Mungkin ini hanya sebuah cerita dongeng .Namun,tidak mustahil boleh berlaku .Realitinya terlalu banyak moral yang dapat diadaptasikan walaupun ia hanyalah cerita dongeng .Jom kita ikuti kisah ini....

     Pada suatu hari seorang lelaki telah jatuh sakit .Walhal, kesakitan yang entah apa sakitnya telah dialami selama berhari-hari .Perutnya meragam .Tetapi pada hari itu, kesakitannya tidak tertanggung lagi .Pantas, dia menerima saranan si isteri untuk pergi bertemu doktor .Fikirnya, doktor lebih arif tentang penyakit .Digagahi langkah untuk mendapatkan rawatan sambil ditemani isteri yang disayangi .

     Sebelum itu, untuk lebih mengenali lelaki ini dia adalah seorang yang cepat panas baran .Pantang ada kesalahan sedikit, pasti ada sahaja yang akan dimarahinya .Tidak kira siapa, barannya sukar ditegur .Isteri dan anak-anak memang sangat memahami .Mereka sedar, andai ada kesalahan yang dilakukan, maka suara garau si suami pasti akan memecah keheningan rumah .Umpama halilintar membelah bumi .Dasyat kan ?

     Pernah terjadi suatu peristiwa .Ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang saudara, si isteri telah dimarahi di hadapan orang ramai .Puncanya hanya satu .Si isteri terlupa memberinya air apabila dia tersedak ketika sedang makan .Bukannya si isteri sengaja, tetapi sibuk melayan kenalan lain membuatkan dia terlupa. Akhirnya, teruk si isteri dimarahi di hadapan semua orang .Sejak hari itu, si isteri tidak lagi berani terhadap suaminya .Diri sentiasa diselubungi ketakutan .Gentar andai tersalah cakap dan tersilap laku .

     Berbalik kepada situasi di klinik berkenaan .Kebetulan doktor yang ingin ditemuinya sedang sibuk .Dia hanya mampu bertemu sebentar sahaja dengan doktor berkenaan .Tetapi, sekurang-kurangnya dia dapat berbicara juga .Doktor perlu meninggalkan klinik secepat mungkin kerana mempunyai tugasan di luar .

    "Macam  nilah encik .Encik balik ke rumah dahulu, esok encik datang semula .Kami akan buat pemeriksaan, mungkin ada yang tidak kena dengan perut encik," terang si doktor .

     Lelaki itu pulang sambil fikirannya sudah tidak sabar untuk mengetahui punca kesakitannya .Keesokan hari dia datang kembali sambil ditemani isteri .Doktor kemudian menyuruhnya ke tandas dan membawa bersama air kencing untuk pemeriksaan .Malangnya tandas di klinik itu ada satu sahaja, terpaksalah dia menunggu lama .

     Setelah keluar dari tandas, si suami terlupa untuk mengambil sampel air kencing tersebut yang telah diletakkan di dalam sebuah bekas .Lantas menyuruh isterinya pergi mengambil di tandas berkenaan .Enggan dimarahi di hadapan khalayak, si isteri segera pergi tanpa ingkar .

     Namun si isteri tanpa sengaja telah menumpahkan air kencing tersebut .Fikirannya buntu .Apakah dia perlu memberitahu suaminya ?Bimbang pula akan dimarahi .Ketika kebuntuan itu semakin menebal, akhirnya si isteri mendapat idea .Ya, dia perlu menggantikan sampel air kencing itu .

     Setelah memberikan semula bekas tersebut kepada si suami, dia berdoa agar tidak berlaku apa-apa kejadian pelik .Si suami pula dengan selamba memasuki bilik doktor dan menyerahkan sampel air kencing tersebut untuk diperiksa .

      Hampir empat jam menunggu, akhirnya kedua-dua suami isteri berkenaan dipanggil memasuki bilik doktor .Ada tiga doktor kesemuanya .Tetapi keadaan riak wajah menunjukkan seolah-olah mereka sedang memikirkan masalah yang sangat besar

      Suami dan isteri tersebut bertambah hairan, barangkali penyakit si suami sangat serius sehingga tiga doktor yang kelihatanya pakar membuat pemeriksaan .Mereka cuba menenangkan diri, menerima segala pandangan dari doktor-doktor tersebut .Setelah suasana menjadi tenang, doktor-doktor berkenaan memulakan bicara .Bimbang pesakit yang ada di hadapan mereka terkejut .

      "Tuan dan puan,saya harap tuan dan puan bersabar dan menerima segala yang berlaku ini sebagai satu ketentuan .Anggaplah ini sebagai ujian," terang doktor yang pertama tanpa menghabiskan bait-bait ayat .Tidak sanggup rasanya dia meneruskan kata-kata lagi .Sah, dalam fikiran suami isteri tersebut, ini mesti penyakit yang agak serius .Mereka semakin berdebar-debar .Masih tidak berpuas hati, mereka lantas meminta penjelasan doktor kedua dan ketiga .

      "Tuan dan puan sepanjang kerjaya saya sebagai doktor selama tiga belas tahun, ini kali pertama saya berhadapan dengan penyakit begini .Namun, saya harap tuan dan puan bersabar...." terang doktor kedua .

       Aduh, keadaan semakin genting, jika benar penyakit itu berat, entah apa penyakit si suami .Tetapi mereka sekali lagi hairan melihatkan doktor ketiga tersenyum girang .Apakah dia meraikan penyakit itu atau cuba memerlinya .Kali ini doktor ketiga pula memulakan bicaranya.

       "Tahniah puan .Selepas pemeriksan yang dilakukan, kami dapati suami puan mengandung!"


                    MORAL :

        Buangkan sifat panas baran kita .Akibatnya cukup negatif, sifat panas baran bukan sahaja merugikan diri sendiri .Bahkan menyebabkan orang lain turut takut untuk bercakap benar dengan kita .Apatah lagi sekiranya orang itu adalah keluarga kita sendiri .Kita perlu bertenang untuk menghadapi sesuatu perkara .Perbincangan adalah sebaik-baiknya .Namun andai sifat panas baran masih menebal, sukar untuk kita berkomunikasi dengan orang lain .Ingatlah....Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud :
       "Ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah s.a.w untuk memberinya nasihat .Baginda kemudian berkata : "Jangan marah" .Lelaki itu terus mengulangi permintaannya dan Nabi Muhammad s.a.w tetap menjawab : "Jangan marah". -HR Bukhari
       

Alyazaira-Mentarisenja © All Rights Reserved
Best View With Mozilla Firefox