Lalat memang menjijikkan. Melihat sekumpulan lalat menghurungi bangkai yang hampir busuk cukup untuk membuatkan saya menjerit ketakutan.
Lalat rumah, atau nama saintifiknya Musca domestica, tergolong dalam keluarga Muscidae dalam kumpulan serangga jenis Diptera. Ia mempunyai sepasang mata kumpuan yang besar dan tiga mata ringkas.
Ia mempunyai bahagian mulut yang berspan; ada jenis lalat yang mempunyai jenis mulut menusuk dan menghisap. Jika anda menggunakan kanta pembesar, anda dapat lihat bahawa ia mempunyai empat belang yang terdapat pada bahagian toreks atau abdomennya.
Lalat rumah: Membahayakan Kesihatan
Lalat rumah membahayakan kesihatan keluarga anda. Lalat makan apa-apa sahaja, daripada sampah, bangkai, najis hinggalah makanan manusia. Kekotoran mudah melekat pada bulu-bulu halus yang meliputi seluruh badan dan kaki mereka, menjadikan lalat sebagai magnet yang kuat untuk menarik kekotoran. Oleh itu, lalat adalah organisma pengangkut penyakit yang terbaik.
Mereka juga mempunyai tabiat mengeluarkan najis semasa mereka berehat. Lebih-lebih lagi, lalat rumah mempunyai bahagian mulut berspan, di mana makanan dicairkan melalui proses regurgitasi. Melalui bahagian badan yang kotor, lalat rumah merupakan pengangkut penyakit patogenik yang efektif.
Pada masa ini, di mana kes-kes penyakit sering mendapat liputan akhbar, adalah amat penting untuk mengetahui apakah peranan lalat dan juga masalah kesihatan yang berkaitan dengannya. Lalat rumah diketahui boleh menyebarkan jangkitan virus seperti taun, cirit-birit, salmonelosis (tifoid, enteritis, keracunan makanan), jangkitan protozoa seperti taun amebik dan pelbagai jenis jangkitan helminitik (cacing pin, cacing bulat, cacing cangkuk, cacing pita).
Kesimpulannya: lalat di rumah adalah berita buruk.
Mengawal Lalat
Pengawalan lalat di rumah melibatkan empat peringkat. Pertama, periksalah rumah anda dengan teliti. Periksa persekitarannya dan lihat jika anda boleh mengenalpasti tempat-tempat di mana lalat boleh mendapat makanan dan membiak. Seringkali, daya hidu anda dapat membantu membawa anda ke arah yang tepat.
Contohnya, najis kucing di laman menarik dan menggembirakan lalat. Jika anda membela ayam di belakang rumah, najis ayam akan menarik lalat dari berbatu-batu jauhnya. Lalat juga tertarik kepada bau makanan tertentu seperti belacan, ikan masin dan terutamanya cendawan. Berjaga-jagalah apabila anda memasak makanan ini.
Kedua, taman dan longkang hendaklah sentiasa kemas dan bersih. Jangan tinggalkan sebarang sampah sarap. Anda hendaklah mengalihkan atau menghapuskan sebarang tempat pembiakan dan pemakanan lalat. Ini bererti anda hendaklah kerap mengosongkan dan membersihkan tong sampah.
Jangan buang sampah, makanan haiwan peliharaan dan makanan lain merata-rata, walaupun jika jiran anda suka memberi makan kepada haiwan terbiar. Anda hendaklah berbincang mengenai perkara ini dengan jiran anda untuk memastikan bahawa lebihan makanan tidak dibuang di jalan, longkang, berhampiran bahu jalan atau lubang di atas jalan untuk memberi makan kepada haiwan-haiwan tersebut. Masukkan makanan tersebut ke dalam baldi atau mangkuk. Dengan cara ini, adalah lebih mudah membersihkan dan mengeringkan bekas tersebut daripada terpaksa menyapu atau membersihkan jalan, bahu jalan, atau longkang.
Ketiga, gunakan tudung saji. Ianya murah dan efektif. Bagi kebanyakan rumah di bandar, tudung saji adalah cukup untuk mengelakkan lalat daripada ‘hinggap-dan-makan’ makanan yang ditinggalkan.
Periksa tong sampah anda. Jika penutupnya longgar, gantikan dengan penutup yang ketat. Pemukul lalat boleh mengawal kehadiran lalat semasa anda memasak makanan yang mempunyai bau tertentu. Berlatih menggunakannya sebelum anda membeli. Jangan hiraukan pandangan orang lain di kedai. Itu duit anda.
Jika anda tinggal berdekatan kawasan pembiakan lalat yang utama, seperti ladang ternakan ayam atau kawasan penjaja makanan yang tidak bersih, anda hendaklah menggunakan kaedah pengawalan yang sesuai untuk melindungi keluarga anda. Ini termasuklah memasang tingkap dan pintu kalis lalat, menutup semua lubang ke luar. Anda boleh juga gunakan lampu pemerangkap serangga dan kertas lekat – ianya agak efektif untuk mengurangkan jumlah lalat yang masuk ke rumah.
Cara terakhir ialah menggunakan bahan kimia. Pengawalan lalat menggunakan bahan kimia harus dilakukan oleh mereka yang professional dan lebih baik jika dijalankan secara kerjasama dengan anggota masyarakat yang lain.
Pada pendapat saya, haruslah ada undang-undang yang mengasingkan kawasan komersial dan pertanian dengan kawasan perumahan.
Penguatkuasaan pembuangan sampah yang efektif akan memastikan bahawa sampah daripada restoran dibuang dengan kerap dan dengan cara yang betul, manakala najis haiwan di ladang berhampiran diatasi dengan menggunakan racun serangga. Walau bagaimanapun, dalam konteks persekitaran rumah, pengawalan menggunakan bahan kimia adalah terhad kepada penggunakan umpan lalat yang dicipta khas.
Jika anda menggunakan umpan lalat, baca labelnya dengan teliti sebelum menggunakannya. Kebanyakan umpan lalat mengandungi granul yang dipenuhi dengan racun serangga dan feromon. Lapisan nipis granul-granul ini boleh membunuh lalat yang menyentuhnnya, manakala feromon mengumpan lalat untuk mendekatinya.
Walaupun cara ini wujud, ingatlah bahawa feromon di dalam granul ini tidak boleh disimpan dengan baik. Jika anda lama tidak menggunakannya atau jika umpan lalat ini telah luput tarikh, feromon akan hilang kesannya. Umpan lalat yang anda beli dari kedai-kedai mungkin tidak berupaya untuk menarik lalat. Jangan lupa periksa tarikh pengilangannya.
by C. Didager
Tiada ulasan:
Catat Ulasan