Khamis, Julai 25

Demi kasih Adam



Selepas lebih lapan tahun berpisah, Hattan nikah semula bekas isteri pada 24 Julai ini untuk kebahagiaan anak
Lebih lapan tahun menyambut Ramadan dan Syawal tanpa kehadiran wanita bernama isteri, tahun ini segala-galanya lebih bermakna buat penyanyi lagu Biso Bonar, Datuk Hattan, 49. Hattan bakal disatukan kembali dengan bekas isterinya, Arianie Abidin, 42.
Memilih keberkatan Ramadan yang penuh rahmat, Hattan yang dihubungi HIP memberitahu, majlis pernikahannya akan berlangsung dalam suasana ringkas dan santai pada 24 Julai ini di Hotel JW Marriot, Putrajaya.
Hattan berkata, majlis itu akan dimulakan dengan upacara akad nikah, diikuti berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.
“Saya mahu melihat anak kami Adam Eiman ,15, hidup bahagia. Sudah lama sambutan hari rayanya tidak lengkap. Jadi saya memilih untuk disatukan dengan Arianie pada Ramadan supaya kami dapat kembali menyambut puasa dan berhari raya sebagai sebuah keluarga.
“Insya Allah tahun ini kami akan meraikan Syawal di kampung halaman saya di Seri Menanti, Negeri Sembilan kerana di sana lebih meriah. Saya sudah berbincang dengan Arianie dan dia sudah bersetuju untuk beraya di sana. Lagipun, Arianie tidak ada kampung halaman seperti saya,” katanya.
Tiada wanita lain boleh tandingi Arianie
Sesuai dengan faktor usia, Hattan memilih mengadakan majlis pernikahan kecil-kecilan. Dia hanya mengundang kira-kira 200 tetamu pada majlis itu kelak.
Ditanya debaran bakal dinikahkan kembali dengan Arianie, kata Hattan, dia tidak berdebar, sebaliknya lebih bahagia. Ini kerana dia bakal disatukan dengan bekas isteri yang bertugas sebagai pramugari itu.
Sejak berpisah secara rasmi pada 10 Mac 2005, Hattan akui sukar melupakan Arianie hingga saban hari dia berdoa jodoh mereka kembali bertaut. Malah, doa itulah yang tidak lekang dipanjatkannya ketika mengerjakan umrah, tahun lalu.
“Mungkin doa saya dan Adam dimakbulkan Allah SWT. Sewaktu mengerjakan umrah tahun lalu, saya meminta jodoh saya dan Arianie disatukan kembali. Saya turut bertanya pada Adam apa yang dimintanya di hadapan Kaabah. Jawap Adam, adik minta ayah berkahwin dengan ibu semula.
“Mungkin ini juga berkat mengerjakan solat sunat taubat tanpa jemu. Kalau sebelum ini, setahun sekali pun susah untuk dilaksanakan, tetapi sejak berubah, boleh dikatakan saya rajin melakukannya sehingga saya dapat merasakan perbezaan,” katanya.
Cerita Hattan lagi, dia tidak beriya-iya memujuk Arianie untuk kembali mendirikan rumah tangga, sebaliknya proses itu berlaku dengan mudah.
“Insya Allah perangai saya yang Arianie tidak berkenan, saya akan ubah. Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk berkahwin kembali dengan Arianie. Cuma mungkin dulu, darah muda, jadi perasaan ego menguasai diri.
“Dulu saya yakin boleh mendapat pengganti Arianie dengan mudah. Tetapi ternyata selepas mengenali ramai wanita, tiada perempuan yang mampu menandingi dirinya,” katanya.
Tambah Hattan lagi, dia lakukan semua itu demi anak tunggal mereka. Lagipun, Hattan tidak mahu Adam berasa janggal jika menumpang kasih dengan ibu tiri.
sumber - BH

Tiada ulasan:

Alyazaira-Mentarisenja © All Rights Reserved
Best View With Mozilla Firefox