Rabu, Julai 4

6 Kunci The Secret Of Success



Key & keyhole with light
                                                                                                                             


Apabila menyebut tentang kejayaan, kecemerlangan dan puncak kegemilangan – pastinya kita semua menyimpan impian dan cita-cita ke arah itu. Tanyalah kepada sesiapa pun, lelaki atau perempuan, tua atau berusia, kaya atau miskin atau sebagainya – semuanya punyai hasrat untuk berjaya!

Namun, bagaimanakah untuk menbumikan buah-buah kejayaan ini? Adakah wujud kunci untuk membuka jalan menuju kejayaan yang kita cita-citakan ini?

Baik, di sini ingin dikongsikan apa yang telah disampaikan oleh Dato’ Dr Muhammad Afifi Al-Akiti ,yang merupakan anak melayu pertama diberi penghormatan menjadi felo dan pensyarah di Universiti Oxford tentang rahsia-rahsia untuk menjadi individu yang berjaya dalam apa jua bidang, lapangan dan kerjaya yang kita ceburi dan tekuni. Rahsia ini adalah wasiat zaman berzaman yang dicetuskan oleh Imam Juwaini yang juga digelar Imam al-Haramain. Anda bersedia? Ayuh kita lihat rahsia ini satu persatu dan terus kita buat semakan terhadap diri kita .                                                                                                                                                                                                                                             
  1. Harus punyai akal yang bergeliga. Apa maknanya? Akal kita harus disinari dan disuluhi dengan ilmu-ilmu yang benar, sahih dan betul. Namun, ia tidak cukup sekadar itu – hati juga harus dicahayakan dengan amalan soleh agar akan terus menerus bersih, jernih dan putih. Akal dan hati – ia punyai hubungan “istimewa” antara keduanya.
  2. Memiliki sifat bersungguh-sungguh yang luar biasa. Buang jauh-jauh sifat malas, culas dan sambil lewa. Asas kepada bersungguh-sungguh ini ialah tekun, cekal dan gagah. Tanpa usaha segigih ini, janganlah kita mengharapkan apa-apa keajaiban dalam kehidupan kita yang singkat ini.
  3. Merasai diri kita ini serba kekurangan dan kekerdilan. Kita akui kita ini kerdil, kecil dan tiada apa-apa. Kita tahu batasan kelemahan kita dan bermula dari situ kita melonjak naik dengan perasaan sentiasa “sedar diri.” Tidak ego, bongkak dan sombong. Rendah diri adalah rahsia insan-insan yang hebat zaman berzaman.
  4. Banyak bermusafir dan mengembara di perantauan. – Maknanya, belajar jauh-jauh daripada kampong halaman. Kerana apa? Kita akan dapat dua perkara serentak iaitu ilmu dan juga semangat berdikari.
  5. Harus dipandu oleh mentor, ustaz atau mursyid. Untuk cemerlang, kita wajib  mempunyai guru yang membimbing, membetulkan dan menyantuni kita. Asas ini penting dalam usaha-usaha menuntut ilmu. Perlu ada guru dan anak murid. Jika tidak, syaitanlah yang menjadi tok guru kita. Awas dalam bab ini.
  6. Dan, akhirnya tempoh masa yang panjang. Untuk berjaya, menjadi pakar dan mahir dalam sesuatu perkara ia memakan masa yang lama. Justeru itu, memperuntukan masa untuk belajar sehingga ke peringkat tertinggi adalah modal utama untuk menjadi seorang yang berjaya di masa hadapan.

Itulah wasiat dan kunci kepada rahsia kejayaan yang telah diwasiatkan oleh Imam Juwaini untuk kita semua. Apabila mendengar satu persatu kunci ini, saya mulai melihat diri saya. Masya-Allah! – Jauh benar diri ini dengan kejayaan.
Terasa untuk bangkit dan memecahkan tembok yang menghalang antara saya dan kejayaan. Kuncinya telah dibongkar oleh seorang tokoh yang hebat iaitu Imam Juwaini dan hari ini, Dato’ Muhammad Afifi Al-Akiti menjadikan kunci ini sebagai pencetus dan pemacu kejayaannya. Lihatlah, apa yang telah beliau genggami saat ini.
Usah kita toleh ke belakang lagi, masa hadapan terletak di hujung langkahan pertama kita. Masa hadapan kita ditentukan oleh sikap, kepercayaan dan keyakinan kita pada hari ini. Justeru, apa lagi ? – Kita ambil kunci-kunci ini dan kita sama-sama buka pintu kejayaan untuk merasainya dengan penuh kepuasan dan kecekalan.


BroHamzah


                                                                                                                                                             



Tiada ulasan:

Alyazaira-Mentarisenja © All Rights Reserved
Best View With Mozilla Firefox