Selasa, Mac 20

SUKA DAN BENCI

       "Kenapa mereka kaya ? Cantiknya benda tu . Sukalah kat kereta tu." Atau...."Ah! Macam ni kau kata elok untuk aku . Aku tak sukalah  kerja tu . Benda tu tak layak bagi aku."
       Mungkin perkataan begini agak biasa bagi kita . Sentiasa terjadi dalam kehidupan seharian . Sehingga mudah untuk kita meletakkan hukuman atau pilihan tanpa memikirkan dengan teliti . Sedangkan akal kita adalah terbatas.

       Pandangan kita sering tersilap,apabila yang memandang itu bukanlah dari mata hati . Kita hanya memandang dari mata kepala . Lantas sesuatu yang sememangnya baik bagi kita,dengan mudah dibakulsampahkan . Manakala yang tidak baik,mudah pula kita dampingi dan dekati.

       Firman Allah s.w.t yang bermaksud; "Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu .Boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu . Ingatlah Allah jualah yang mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya." - Surah al Baqarah : 216

       Kita sering memandang sesuatu perkara dengan mata kepala sendiri sahaja. Tanpa cuba melihatnya dengan hati yang bersandarkan kepada keimanan. Maka,mungkin pertimbangan kita sering tersasar.

       Metafora pertama,katakanlah kekayaan. Mengaku sahajalah,tiada siapa sebenarnya yang tidak suka kepada kekayaan. Ramai yang ingin menjadi kaya. Namun bagaimana seandainya sejak kecil sehingga dimamah usia,mereka masih belum kaya-kaya lagi.

       Hidup hanya sekadar cuma. Hati mungkin membenci dan mempersoalkan,mengapa mereka tidak mengecapi kekayaan harta benda sedangkan pelbagai usaha telah dilakukan.

       Sebaliknya,andai mata hati yang melihat,pasti terdapat hikmah di sebaliknya. Begitulah kasih sayang Allah s.w.t kepada hambaNya. Bukannya Dia tidak mampu untuk memberikan kekayaan kepada setiap hamba,tiada apa yang mustahil bagi Yang Maha Kaya. Namun,itulah yang terbaik dari Ilahi.

      Metafora kedua adalah kereta. Hari ini andai ditanya kepada orang ramai,apakah kereta impian mereka?Lantas pelbagai jenama kereta akan disebutkan. Lazimnya  tiada siapa meletakkan model kereta paling murah sebagai impian masing-masing. Semua menyatakan jenama yang mahal-mahal belaka. Pada hakikatnya kita memang begitu. Ketika kemampuan terbatas,impian kita sebesar gunung. Tetapi kebiasaannya,yang digunakan hari ini adalah kereta sederhana sahaja. Mengapa begitu?


      Boleh jadi dengan memiliki kereta impian,kita akan mudah terleka,bahkan lalai dari melaksanakan perintah Allah s.w.t. Ia juga boleh menyebabkan kita  berasa bongkak dan angkuh. Lebih hebat akan menjadi bebanan pada masa akan datang. Hari ini mungkin kita tidak dapat melihatnya,namun Allah Maha Mengetahui akan kemampuan hambaNya. Kereta murah dan kecil yang ditawarkan kepada kita barangkali itulah yang terbaik buat kita. Walaupun begitu terdapat pelbagai hikmah yang tersembunyi di sebalik semuanya.

      Metafora yang ketiga adalah perintah Yang Maha Esa. Kita dikurniakan akal dan juga nafsu. Biarpun nafsu sering membayangkan keindahan kepada kita,tetapi ia tetap membawa kita jauh dan semakin jauh dariNya. Ketika perintah dan amanah yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada kita,hati serta jiwa mungkin terlaku berat untuk melaksanakannya. Jika kita tetap melakukan juga,akhirnya ia akan membawa kebaikan kepada kita kelak,walaupun pada awalnya kita membenci.

      Sebagai contoh ialah solat,ia merupakan benteng kepada kita agar dapat menghindari perbuatan keji dan mungkar. Malangnya ada di kalangan kita yang membenci solat sehingga mengabaikan perintah tersebut. Andai dilaksanakan sekalipun pasti dengan hati yang berat,sedangkan solat sangat baik untuk kita.

      Benarlah, sesuatu yang paling disukai belum tentu baik untuk kita. Manakala sesuatu yang dibenci pula,barangkali itulah yang terbaik buat kita. Kata orang,perkara yang paling dibenci akhirnya itulah yang akan menjadi perkara yang paling kita suka dan perkara yang paling disukai akhirnya menjadi perkara
yang .paling dibenci.

Tiada ulasan:

Alyazaira-Mentarisenja © All Rights Reserved
Best View With Mozilla Firefox