Isnin, Mac 19

SUKARNYA KITA MENGAKUI KESILAPAN

      "Lubang tu la . Seluas-luas tanah,dekat situ pula dia ada . Tak pasal-pasal kaki berdarah," kata seorang kanak-kanak kepada ibunya . Matanya turut mengalirkan air mata . Darah yang keluar dari luka memang banyak . Pedih pula terasa apabila diletakkan ubat.


     "Betul tu,lubang tu besar sangat kan?Kesian anak mak . Nanti kejap lagi mak akan pukul lubang tu dengan cangkul . Mak kambus terus pun boleh,"bela si ibu sambil menjeling ke arah lubang yang dimaksudkan.

  Entah siapa yang menggali lubang berkenaan,getus hati si ibu lagi.Benar,ibu mana yang sanggup melihat anaknya menangis.Apatah lagi mengalami luka sehingga berdarah.Lagi pun bukan salah anaknya.Tidak sengaja kaki terjerumus ke lubang berkenaan.Jika lubang itu adalah manusia,pasti akan dimarahinya.


     "Kamu dah tahu ada lubang dekat situ,tapi kat situ jugaklah kamu pergi.Bukan salah lubang tu.Kamu tu yang tak berhati-hati,"sampuk sang ayah sambil berlalu pergi,sementara si ibu dan anaknya hanya mendiamkan diri.


    Begitulah... .Mungkin kita sendiri kurang menyedari.Semenjak kecil kita dilatih untuk menyalahkan sesuatu yang lain.Malah,kita sering menyalahkan orang lain walaupun kesilapan berkenaan disebabkan kelemahan diri sendiri.


   Lihatlah di sekeliling.Kita mungkin mengakui hakikat berkenaan.Bagaimana seorang pemain bola menyalahkan padang ketika pasukannya kalah.Sama seperti seorang pekerja menghambur cacian kepada majikannya,sedangkan dia yang tidak berdisiplin.Begitu juga apabila seorang suami menyalahkan isterinya sebagai punca dinginnya hubungan,sedangkan dia sebenarnya  yang tidak mempunyai ilmu tentang pengurusan rumahtangga.


   Ketika keadaan terdesak,kita akan mencari 1001 alasan demi melepaskan diri daripada sebarang  kesulitan atau musibah yang bakal menimpa.Lantas kita akan merasa selesa seandainya tidak dipersalahkan,biarpun alasan yang diberikan telah menyebabkan kita terpaksa menipu.Lebih teruk lagi,kita salahkan orang lain pula.Akhirnya,orang lain terpaksa menjadi mangsa keadaan.


   Seringkali apabila berlakunya pergaduhan,pertelingkahan atau salah faham,kita mudah menyalahkan orang lain,bukan diri sendiri.Kita bijak mencari alasan untuk melepaskan diri.



   Ya.Mungkin kita akan terlepas dari hukuman.Juga kita dapat melarikan diri dari dipersalahkan.Tapi,sejauh mana?Berapa lama?Kita sedia maklum,melarikan diri  dari sebarang kesilapan samalah seperti enggan mengakui kelemahan diri.Itu menipu diri sendiri namanya dan menyebabkan hati tidak akan tenteram. Sudahlah kita bersalah kerana meletakkan kesalahan di atas bahu orang lain.Lebih menambahkan dosa apabila alasan yang kita  reka dalam keadaan menipu.Kita sering membanggakan maruah dan letak duduk diri sendiri.Sehingga apabila diuji Allah s.w.t dengan sesuatu kejadian yang kelihatannya boleh menggugat maruah dan latar belakang diri,lihatlah bagaimana reaksi kita.Alasan akan dicari bagi meletakkan kesalahan kepada orang lain juga,agar maruah diri tidak tercalar atau latar belakang kita kelihatan sempurna pada pandangan orang lain.Firman Allah s.w.t yang bermaksud;
 "Sesugguhnya,Tuhanmu Maha Luas keampunan-Nya.Dia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Dia menciptakan kamu (berasal) dari tanah dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui pelbagai peringkat kejadian di dalam perut ibu kamu.Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih daripada dosa).Dia sahaja yang lebih mengetahui akan orang yang bertaqwa."  - Surah An Najm : 32


   Ego selalu membatasi diri  dari mengakui kesalahan.Kita enggan dipersalahkan dan bimbang jika orang lain tahu kesilapan kita.Sedangkan Allah Maha Mengetahui kekhilafan para hamba-Nya.Kisah Nabi Adam dan Hawa terakam indah di dalam al-Quran.Bagaimana kesalahan yang dilakukan menuntut baginda untuk mengakui segalanya.Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud:
   "Mereka berdua merayu ; "Wahai Tuhan kami,kami telah menaniaya diri kami sendiri.Jika Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami,nescaya jadilah kami daripada golongan orang yang rugi." - Surah al A'raf :32


   Begitu juga Nabi Yunus,ketika berada di dalam perut ikan,baginda tidak menyalahkan sesiapa.Hanya menyalahkan dirinya sendiri.Kisah tersebut turut terkandung di dalam al-Quran menerusi surah al Anbiyaa' ayat 87 yang bekmaksud;
  "Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun,ketika itu pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan.(Setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku)maka ia pun menyeru dalam keadan yang gelap gelita dengan berkata;"Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau Yang Maha Suci.Tolonglah daku.Sesungguhnya,aku daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri."


   Memilih untuk menyalahkan diri sendiri sebenarnya lebih mulia dari menuding  jari kepada orang lain.Hal ini kerana kita akan lebih mudah mempelajari kesilapan berkenaan.Alangkah bijak dan indahnya apabila kita hanya menghitung aib diri sendiri berbanding orang lain.Dalam Musnad Anas ibn  Malik r.a,Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
   "Beruntunglah orang yang sibuk melihat aib dirinya sehingga tidak sibuk dengan aib orang lain."




  

Tiada ulasan:

Alyazaira-Mentarisenja © All Rights Reserved
Best View With Mozilla Firefox